Assalamualaikum…
Dalam kesibukan mempersiapkan diri untuk peperiksaan yang sudah semakin hampir saya luangkan sedikit masa berbual dengan mereka. Mencuri setitis ketenangan dari selubuk ketenangan dalam diri mereka. Meminta doa agar segala usaha saya ini di dalam redha Allah dan dalam restu mereka. Hilang sebentar segala kerisauan tentang studi, peperiksaan, ijazah, kerja.. apa-apa saja lagi tentang dunia. Kerana saya tahu..walau apa pun saya ini suatu hari nanti, mereka akan tetap menerima saya seadanya. Walau mungkin saya pulang tanpa ijazah… walau mungkin saya tidak mampu menjanjikan mereka hidup mewah, mereka akan tetap menyambut kepulangan saya dengan penuh mesra. Kerana saya tahu cinta dan kasih mereka bukan cinta biasa. Kasih mereka pada saya tiada kondisi.
Saya masih ingat setiap kali duduk di sebelah emak dalam kereta yang dipandu abah. Setiap kali abah membelok atau memberhentikan kenderaan, setangkas itu tangan emak akan menyambar tangan kami di kiri kanannya. Dan tangannya akan mengenggam lengan kami kejap, seolah-olah kiranya andai ada apa-apa yang bakal terjadi, genggamannya itu mampu menyelamatkan kami. Sudah 21 tahun usia saya kini, bermakna selama itu juga saya mengecapi kasih emak. Malah mungkin lebih daripada usia saya lagi… sejak saat saya di kandung di dalam rahimnya. Hubungan saya dengan emak amat istimewa. Sejak tamat sekolah rendah saya sudah jauh dari emak. Dan tamat pula sekolah menengah kami langsung dipisahkan oleh benua. Hanya sesekali mendengar suara dan bertemu saat cuti-cuti yang panjang. Emak sahabat saya yang paling rapat. Emak seorang yang paling setia mendengar cerita-cerita saya saat saya menelefonnya setiap minggu. Malah saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di telefon bersama emak.
“Tak sempat nak merasa duduk lama-lama dengan anak mak ni. Ingat lagi kami menghantar Nana ke asrama lepas darjah enam. Lepas itu menghantar kamu ke lapangan terbang untuk ke UK. Sedar tak sedar sekarang ini kami sudah nak menghantar kamu ke rumah mertua pulak,”
Emak tunduk. Matanya tertumpu pada jarum dan benang di tangannya. Baju nikah putih gading saya itu perlu siap segera kerana majlisnya lusa. Emak mahu tangannya sendiri yang meyediakan baju nikah itu. Seperti semua baju-baju saya sebelum ini. Semuanya hasil tangan emak. Sejak dari kecil sehingga sekarang. Setiap kali Hari Raya emak yang akan paling sibuk menguruskan pakaian baru kami, walau pakaiannya sendiri jarang sekali berganti baru. Saya hanya mampu tersenyum sambil mata menahan tangis. Saya tahu emak sebak. Saya melihat dia membuang pandang keluar sebelum berpaling dan tersenyum semula kepada saya.
“Jadi isteri yang baik untuk suami kamu,” kata emak saat dia mengucup dahi saya selepas saya selamat di ijabkabulkan pada malam bersejarah itu. Kali ini emak sudah betul-betul menangis.
Dan selepas menyalami emak saya bersalaman dengan ibu mertua. Itu kali kedua saya bersua muka dengannya dan kali pertama adalah saat dia menyarungkan cincin di jari manis saya setahun yang lepas. Emak tidak pernah melihat saya sebelum itu. Malah tidak pernah langsung berbual dengan saya. Emak hanya mengenali saya lewat gambar yang ditunjukkan kepadanya saat anak lelakinya menyatakan pilihan hati. Emak tidak membantah, emak tidak banyak bertanya. Emak malah menerima dengan sepenuh hati. Emak yakin dengan pilihan anak itu dan sebulan selepas itu dia bertandang ke laman ibu bapa saya untuk menunaikan keinginan anak kesayangan. Dan itulah kali pertama saya dan dia bersua muka. Tiada perkataan yang terucap hanya berbalas senyum. Selepas itu baru kami saling berhubung lewat perbualan telefon dan sedikit demi sedikit kasih saya kepadanya mula terbina.
Pertama kali saya melangkah ke rumah emak di Teluk Intan, peluh dingin mengalir. Bukan sedikit saya mendengar kisah hubungan ibu mertua dan menantu perempuan. Malah jarang sekali saya mendengar yang baik-baik. Hati sangat-sangat bimbang andai saya tidak mampu menjadi menantu idaman hati mertua. Namun ketakutan saya tidak berasas sama sekali. Emak bukanlah mertua yang cerewet yang mengharapkan kesempurnaan. Emak menerima saya seadanya dalam keluarga itu. Malah emak mendidik saya dalam hal rumah tangga seperti mana dia mendidik anak-anak gadisnya sendiri. Mengajar memasak dan sebagainya. Hari demi hari saya di rumah emak, hati saya semakin senang. Emak seorang yang sangat-sangat penyayang. Saya dapat melihat kasih sayang emak yang melimpah ruah saat dia rancak bercerita kepada saya tentang kisah waktu kecil anak-anaknya saat kami usai solat zuhur bersama-sama. Sedang-sedang rancak berbual emak nampak kelibat anak lelakinya yang baru pulang. Emak tiba-tiba tersenyum.
“Dahulu masih comot-comot berlari ke sana ke mari sekarang sudah jadi suami orang. Sekejapnya masa berlalu…” kata emak sambil saya lihat air matanya bergenang. Emak cepat-cepat mengajak saya ke dapur kerana orang-orang lelaki di rumah itu sudah mula pulang dari masjid.
Melihat mereka saya sendiri tidak sabar mahu menjadi seorang ibu. Saya mahu mempunyai kekuatan dan kemurahan kasih sayang seperti mana yang mereka miliki. Saya mahu menjadi murabbiah buat anak-anak yang saya lahirkan sendiri. Tetapi saya tidak pasti adakah mampu saya menjadi seperti mereka. Membayangkan kesakitan melahirkan anak pun sudah membuatkan saya berfikir dua tiga kali. Tetapi wanita-wanita ini adalah mereka yang pernah menyabung nyawa demi untuk melahirkan zuriat yang menjadi penyambung zaman. Bukan sekali malah berkali-kali. Dan setiap kali itu kesakitan bukan yang calang-calang. Kesakitan yang mempertaruhkan nyawa.
Mereka wanita hebat, mereka wanita yang amat saya kagumi. Mereka dalam pandangan saya lebih hebat dari wanita yang duduk di meja menjadi pengarah urusan syarikat mega. Mereka menjadi hebat dengan hanya menjalankan tugas mereka di rumah itu sebaik yang mungkin dan sehabis mampu. Mereka wanita yang menjadi hebat dengan hanya memenuhi fitrah wanita dengan sebaiknya. Mereka menjadi tunjang kekuatan si suami dan menjadi tempat anak-anak menumpang kasih. Sehebat mana pun sesiapa di luar sana tidak dapat tidak bermula dari pengorbanan wanita-wanita seperti mereka. Yang sanggup mengorbankan apa saja demi untuk melihat anak-anak ini bahagia. Kerana cinta mereka kepada saya dan anak-anak mereka adalah cinta yang tanpa syarat. Cinta yang tidak pernah mengharapkan sebarang balasan. Mereka hanya memberi, memberi dan terus memberi tanpa pernah meminta…
Saya kasih mereka dengan sepenuh hati… Kerana mereka ibuku…
Buatmu Ibu
Ibu… bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian
Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa
Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu
Ibu… kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku
Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan
Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan
Ibu.. kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letaknya syurgaku
Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan
Kasihanilah, Tuhan
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
May 12, 2008 at 3:30 am |
salam sis..
adus setiap kali sy singgah d blog akak ni pasti air mata mnitik..ape lg dgn entry terbaru ni..
jumpa d malaysia insyAllah..
salam sayang n rindu..